Selasa, 10 November 2009
AL-FATIHAH - BUAT BONDA KETUA PENERANGAN PAS PJS
PAS Kawasan Petaling Jaya Selatan ( PJS ) mengucapkan takziah diatas pemergian bonda kepada Ketua Penerangan PAS Kawasan (Hj. Ahmad Pohat B. Shamsuddin).
Arwah yang tinggal bersama beliau, telah menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman mereka di Flat Impian Baiduri P. Jaya, kira-kira 4.00 petang Hari Ahad kelmarin.
Semoga Roh beliau ditempatkan bersama-sama golongan yang Solihin, Al-Fatihah.
Isnin, 9 November 2009
JAMUAN RAYA PAS PJS MERIAH
AL-FADHIL USTAZ HAJI GHAZALI SHAARI AL-HAFIZ ( YDP PJS )
MENYAMPAIKAN DUIT RAYA KEPADA KANAK-KANAK YANG HADIR.
BERSAMA ARTIS JEMPUTAN (AZHAN ATAN )DI PENGHUJUNG MAJLIS
Ahad, 27 September 2009
Penduduk mahu NPE bina tembok pengadang
Terbaru, dalam insiden yang berlaku kira-kira 6.30 pagi semalam, dua buah kenderaan penduduk yang diletakkan di hadapan rumah rosak teruk akibat dilanggar kereta yang terbabas keluar daripada lebuh raya berkenaan.
Difahamkan, kemalangan itu merupakan insiden kali keenam dan penduduk mendakwa sudah memaklumkannya ke pengeta huan NPE, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.
Pemilik kenderaan yang menjadi mangsa terbaru dalam kejadian semalam, Mohd Nor Zakaria mahu NPE lebih bertanggungjawab dan mengambil tindakan segera membina tembok pengadang agar kejadian sama tidak berulang.
Katanya, jangan sampai berlakunya kejadian yang melibatkan kematian, baru pihak berkenaan mengambil tindakan.
“Saya berharap pihak NPE dapat mengambil tindakan proaktif dalam memastikan keselamatan penduduk dan harta benda mereka sentiasa dalam keadaan selamat.
“Jangan tunggu sehingga ada nyawa penduduk terkorban baru mahu bertindak,” katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 17, Dr Melasutra Mohd Dali berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kejuruteraan MBPJ, namun masih belum dapat dilaksanakan kerana menunggu jawapan dan tindakan dari pihak NPE yang bertanggungjawab atas lebuh raya berkenaan.
“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak majlis di bawah seliaan Jabatan Kejuruteraan, namun masih belum dapat dilaksanakan kerana menunggu jawapan dan tindakan dari pihak NPE.
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu penduduk Jalan Dua terbabit menyelesaikan masalah untuk memohon tembok pengadang tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, usaha Sinar Harian cuba menghubungi pihak NPE untuk mendapatkan maklum balas namun gagal dihubungi.
Sabtu, 26 September 2009
DPPPJS Menyampaikan Hamper Hari Raya Kepada Pondok-Pondok Polis
Petaling Jaya Selatan : Bagi menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang menjalankan tugas sepanjang masa demi keamanan dan kesejahteraan rakyat, Dewan Pemuda PAS Kawasan Petaling Jaya Selatan ( DPPPJS ) telah menyampaikan sumbangan berbentuk hamper dan Kad Hari Raya kepada 3
Pondok Polis di sekitar PJS ( Pondok Polis Tmn. Medan, Tmn. Medan Baru, dan Tmn. Dato' Harun ).
Ketua DPPPJS ( Ahmad Shahrum Md Daud ) sendiri telah menyampaikan Sumbangan-sumbangan tersebut yang turut disertai oleh Timbalan, Naib dan Ahli Jawatnkuasa Dewan tersebut.
“Mereka memikul tugas dan tanggungjawab berat menjaga kesejahteraan dan ketenteraman awam agar rakyat dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan lain-lain perayaan ”, kata ketua DPPPJS.
Menurutnya, walaupun sumbangan Hari Raya yang tidak seberapa nilainya, tetapi yang penting ialah ingatan terhadap perkhidmatan mereka kepada bangsa dan negara.
IFTAR PAS PJS
16 Septermber 2009 : PAS KAWASAN & DEWAN-DEWAN ( PEMUDA & MUSLIMAT ) telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama, bagi mengeratkan lagi ukhuwah dikalangan Ahli-ahli Jawatankuasanya.
Walaupun kehadiran agak sedikit akibat dari hujan lebat & program-program lain yang bertindih, namun program tersebut tetap meriah dan ceria.
PAS PJS - Sumbangan Duit Raya Kepada Fakir Miskin Dan Ibu Tunggal
Petaling Jaya Selatan : Sempena Aidilfitri ini, PAS Kawasan PJS telah menghulurkan sumbangan duit raya kepada golongan fakir miskin dan ibu tunggal. Majlis penyerahan itu telah dihadiri lebih 40 penerima, dan sumbangan telah disampaikan oleh Yang Dipertua Kawasan ( Ustaz Haji Ghazali Shaari Al-Hafiz ).
Sumbangan tersebut tidak tertumpu kepada golongan melayu, malah kaum India juga turut mendapat sumbangan tersebut. Pada Majlis itu Ustaz Ghazali didalam ucapan ringkasnya mengharapkan doa daripada semua pihak, agar PAS PJS dapat menghulurkan bantuan dan berterusan membela nasib rakyat.
Jumaat, 25 September 2009
Perutusan Hari Raya Presiden PAS
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Ramadhan al-Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri.
Tanda orang bertaqwa pula ialah kita menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai panduan yang hakiki dalam kita melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Ia merangkumi pelbagai cabang kehidupan kita: bukan setakat makan-minum-pakaian yang halal semata-mata, tetapi juga cara untuk menguruskan rumahtangga, berhubung sesama manusia sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat, bahkan hinggalah kepada cara bernegara.
Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan al-Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawaduk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.
Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan �Eid Mubarak� kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.
Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.
Ikhlas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS
PERUTUSAN HARI RAYA MURSYIDUL AM PAS
Assalamu'alaikum wa Rahmatullah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)
Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.
Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.
Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.
Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.
Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.
Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain.
Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai.
Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.
Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.
Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun.
Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.
Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid.
Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.
Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.
Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.
Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.
Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.
Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.
Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai.
Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.
Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.
Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.
Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.
Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.
Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka. Wallahua'alam.
Jumaat, 12 Jun 2009
Mustafa Ali setiausaha agung baru PAS
Datuk Mustafa Ali hari ini dilantik sebagai setiausaha agung baru PAS manakala Dr Hatta Ramli kekal memegang jawatan bendahari.
Manakala bekas dua naib presiden - Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu - yang tewas dalam pertandingan jawatan timbalan presiden - dilantik menganggotai jawatankuasa PAS pusat (lihat senarai pertama).
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Husam dan Mohamad dilantik sebagai AJK dengan tugas-tugas khas perancangan dan strategi parti.
Manakala bekas timbalan ketua Dewan Pemuda PAS pusat, Idris Ahmad dilantik sebagai ketua penerangan.
Pelantikan mereka diputuskan dalam mesyuarat pertama jawatankuasa pusat di ibu negara hari ini.
Mustafa menggantikan Datuk Kamaruddin Jaafar yang menang jawatan AJK dalam pemilihan di muktamar parti itu minggu lepas.
Pelantikan Mustafa, yang juga pesuruhjaya PAS Terengganu, sudah dijangka kerana beliau merupakan penyokong kuat idea-idea yang dibawa oleh Abdul Hadi, termasuk kerajaan perpaduan.
Beliau juga pengerusi akhbar rasmi PAS Harakah dan juga memegang jawatan pengarah pilihanraya PAS sebelum rombakan yang diumumkan hari ini.
Bagi jawatan pengarah pilihanraya dan pesuruhjaya Terengganu, kekosongan yang ditinggalkan Mustafa diganti masing-masing oleh Datuk Abdul Halim Abdul Rahman dan Datuk Harun Taib (lihat senarai kedua).
Abdul Halim, bekas timbalan menteri besar Kelantan itu, kini ahli parlimen Pengkalan Chepa. Manakala Harun yang kini ketua Dewan Ulama diberikan memimpin Terengganu sekali lagi.
Tidak sentuh kerajaan perpaduan
Bercakap dalam sidang akhbar selepas mesyuarat AJK itu, Abdul Hadi berkata mesyuarat tidak menyentuh langsung mengenai isu kerajaan perpaduan.
Ditanya mengenai perjumpaan sulit Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dengan beberapa pemimpin pemimpin yang menolak kerajaan perpaduan, Abdul Hadi berkata beliau "tidak tahu".
Beliau juga menyentuh tentang pertemuannya dengan menteri mentor Singapura, Lee Kuan Yew semalam.
Abdul Hadi berkata, pertemuan tersebut atas undangan Lee yang ingin tahu dasar luar PAS, termasuk terhadap republik itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad memberitahu Malaysiakini sejurus selepas pengumuman Abdul Hadi itu bahawa beliau akan membuat keputusan dalam tempoh seminggu lagi.
"Beri saya tempoh berfikir. Saya perlu berbincang dengan kawan-kawan terlebih dahulu," katanya.
Ahli jawatankuasa baru yang dilantik:
Datuk Husam Musa, bekas naib presiden
Mohamad Sabu, bekas naib presiden
Mohd Anuar Tahir, bekas setiausaha agung PKR
Mohd Taufik Abdul Ghani, ADUN Paroi
Dr Mariah Mahamud, ahli parlimen Kota Raja
Wan Ubaidah Wan Omar, exco kerajaan Kelantan
Asmuni Awi, timbalan pesuruhajaya PAS Perak
Ahmad Dollah, timbalan pesuruhajaya PAS Sabah
Senarai pesuruhjaya PAS negeri:
Hashim Jasin (Perlis)
Datuk Seri Azizan Abdul Razak (Kedah)
Saleh Man (Pulau Pinang)
* Abu Bakar Husin (Perak) – dulu Ahmad Awang
Datuk Nik Aziz Nik Mat(Kelantan)
* Datuk Harun Taib (Terengganu) – dulu Datuk Mustafa Ali
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pahang)
Datuk Dr Hassan Ali (Selangor)
Mohd Noor Mohamad (Wilayah Persekutuan)
Zulkifli Mohd Omar (Negeri Sembilan)
Abdul Ghani Abdul Rahman (Melaka)
Datuk Mahfodz Mohamad (Johor)
Mohamad Abdullah (Sabah)
Osman Moras (Sarawak)
Sabtu, 30 Mei 2009
MASALAH PENDUDUK RUMAH PANJANG PJS1 AKAN BERAKHIR
Mereka telah menunggu hampir 7 tujuh tahun untuk rumah kos rendah mereka tetapi ia tidak dapat dibina kerana terdapat perintah mahkamah menghalang pembinaannya.
Ianya diambil oleh penduduk setempat yang membantah pembinaan pangsapuri tersebut.
Selain dari itu, rumah panjang itu juga terletak di atas tapak sekolah yang perlu dimulakan pembinaannya dengan segera.
Beberapa siri perbincangan telah diadakan yang melibatkan Exco Perumahan, Pengurusan Bandar & Setinggan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pemaju untuk mencari satu penyelesaian.
Akhirnya pemaju telah bersetuju untuk membina pangsapuri tersebut di tapak yang lain. Oleh yang demikian, penduduk rumah panjang itu akan mendapatkan kepastian bila rumah mereka akan siap.
Maka penduduk akan mendapat rumah mereka dan sekolah akan dapat bina.
Walau bagaimanapun, mereka terpaksa berpindah buat sementara waktu ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 sehingga rumah mereka siap dibina.
Tetapi mereka akan dibayar saguhati untuk kos perpindahan. MBPJ juga akan menyediakan pengangkutan bagi anak-anak mereka untuk berulang-alik ke sekolah. Kerja-kerja membaik pulih PPR itu juga akan dijalankan.
Sebelum ini, MBPJ telah cuba mendapatkan rumah-rumah di sekitar kawasan rumah panjang itu tetapi kadarnya terlalu mahal.
Kerajaan Negeri berharap penduduk akan menerima tawaran ini agar pembinaan sekolah ini dapat dimulakan dengan segera demi kepentingan rakyat.
Iskandar Abdul Samad
Exco/Pengerusi Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
30 Mei 2009
LAPORAN KERUNTUHAN JAYA SUPERMARKET AMAT PENTING
Kompleks tersebut adalah dalam proses dimajukan semula di mana satu blok akan dirobohkan dan dua blok lagi akan dinaiktaraf. Blok yang sedang dirobohkan ini telah runtuh dan telah meragut beberapa nyawa.
Laporan keruntuhan ini penting kerana Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk membangunkan semula kawasan-kawasan lama di negeri ini iaitu dengan melakukan "urban redevelopment". "Urban Redevelopment" merupakan sebahagian dari pakej ransangan ekonomi Kerajaan Negeri Selangor dan ia memerlukan perobohan bangunan-bangunan lama dan dimajukan dengan pembangunan yang lebih berdaya saing.
Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji laporan keruntuhan ini untuk memastikan apabila "Urban Redevelopment" ini dilaksanakan, tragedi Jaya Supermarket ini tidak akan berulang.
Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Selangor
29 Mei 2009
Monolog Hati Seorang Pejuang
Dipetik dari : http://episodeperjuangan.blogspot.com/
Engkau ingin berjuang ,
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup berkorban
Engkau ingin berjuang,
Tapi hanya ingin jadi pemimpin
Engkau ingin berjuang,
Menjadi pengikut agak segan
Engkau ingin berjuang,
Tolak ansur engkau tidak amalkan
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup menerima cabaran
Engkau ingin berjuang,
Kesihatan dan kerehatan,
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian
Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan,
Engkau ingin berjuang,
Masa tidak sanggup engkau luangkan
Engkau ingin berjuang,
Karenah isteri tidak kau tahan
Engkau ingin berjuang,
Rumahtangga lintang-pukang
Engkau ingin berjuang,
Diri engkau tidak engkau tingkatkan
Engkau ingin berjuang,
Disiplin diri engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Janji kurang engkau tunaikan
Engkau ingin berjuang,
Kasih sayang engkau cuaikan
Engkau ingin berjuang,
Tetamu engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Anak isteri engkau lupakan
Engkau ingin berjuang,
Ilmu berjuang engkau tinggalkan
Engkau ingin berjuang,
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan
Engkau ingin berjuang,
Pandangan engkau tidak diselaraskan
Engkau ingin berjuang,
Rasa bertuhan engkau abaikan
Engkau ingin berjuang,
Iman dan taqwa engkau lupakan
Ya sebenarnya apa yang Engkau hendak perjuangkan...
Khamis, 28 Mei 2009
Kesan Zikir Terhadap Otak
Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.
Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.
Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.
Rabu, 27 Mei 2009
Najib Tak Datang???
Najib telah tidak hadir ke majlis yang diadakan di PJS 4 Taman Medan baru-baru ini...menimbulkan pelbagai pesolan dikalangan rakyat ..... akibat ketidak hadiran ke ( bahagian angkat )beliau di Petaling Jaya Selatan....
Kenapa tiba2 Najib tidak hadir ke majlis tersebut?????? Adakah mungkin bahagian risikan Najib telah mendapati bahawa sambutan daripada rakyat tempatan hambar dan hanya anak-anak kecil sahaja memenuhi program tersebut dengan umpanan hadiah-hadiah dari beberapa slot program yang diadakan....
Sejak bilakah Najib & umno memerintah kerajaan negeri???? (Gambar Lambang Kerajaan negeri Selangor pada banner & banting)
Siapakah penganjur bagi program tersebut????
Selasa, 26 Mei 2009
Pas PJS Perkenal Pakej Urus Jenazah
Menurutnya, pakej itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan Pas di negeri ini dan ia sebagai tanda keprihatinan parti itu terhadap kebajikan penduduk di kawasan PJS.
“Tujuan kita mengadakan perkhidmatan pakej jenazah ini, adalah semata-mata mahu membantu meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan dalam mengendalikan urusan pengebumian.
“Perkhidmatan ini terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira ideologi dan fahaman politik, apa yang penting mereka perlulah mengemukakan permohonan kepada Pas PJS terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini , semalam.
Ariffin berkata, bagi membolehkan penduduk mendapatkan perkhidmatan itu, si mati mestilah merupakan pemastautin dalam kawasan PJS.
Katanya, antara jenis perkhidmatan yang terdapat dalam pakej itu ialah kelengkapan kain kapan, memandikan jenazah, persediaan tanah perkuburan dan kenderaan van jenazah, semuanya disediakan secara percuma.
Namun katanya, sekiranya waris si mati ingin menguruskan jenazah di luar kawasan PJS, mereka perlulah menanggung kos petrol van jenazah, bayaran tol dan bacaan talkin.
“Waris si mati yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini perlulah membawa surat kematian dan dokumen berkaitan sebagai bukti dan rujukan kami.
“Sekiranya pemohon memilih untuk menggunakan perkhidmatan pakej jenazah yang disediakan pihak lain umpamanya daripada individu, masjid atau surau dan badan khairat kematian.
“Pas PJS tidak akan mempertimbangkan sebarang tuntutan untuk mengembalikan bayaran yang telah dibuat kepada pihak berkenaan,” katanya.
Untuk keterangan lanjut sila datang ke pejabat Pas PJS di No.19, Jalan PJS 2D/17, Taman Medan atau hubungi 03-77857279 / 03-77857285.
Amalan sagu hati menjelang Muktamar , Wan Hasrina beri penjelasan.
Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian pada 18 Mei itu, menyimpang langsung daripada kenyataan sebenar yang dibuat oleh beliau.
Beliau dalam kenyataan sebenarnya menyebut, "Untuk memastikan PAS terus bersandar pada dasar yang sebenar seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan PAS itu menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukkan, maka PAS perlulah meneruskan proses pendidikan (tarbiyah) kepada ahli-ahlinya terutamanya kepada ahli-ahli baru yang mana kita tahu kebanyakan ahli-ahli baru datangnya dari berbagai latar belakang pendidikan dan fahaman politik termasuklah mereka yang datang dari Umno dan orang-orang yang tidak berparti. Oleh itu dengan proses tarbiyyah ini saja kita yakin PAS dapat membendung budaya-budaya yang tidak sihat daripada menular di dalam perjuangan PAS ini."
Menurut beliau, "tidak timbul langsung kenyataan saya yang mengaitkan ahli-ahli baru ini dengan gejala politik wang kerana saya percaya politik wang tidak wujud di dalam proses pemilihan kepimpinan di semua peringkat dalam PAS".
Selar beliau, kenyataan yang dibuat oleh Sinar Harian ini dilihat hanya untuk menimbulkan konflik antara ahli PAS memandangkan muktamar tahun ini merupakan tahun pemilihan.
Siapa kami untuk rosakkan PAS : Dato Kapten (B) Hj. Zahar Hashim
Selepas lebih lima bulan di dalam Pas (bermula 21 Disember 2008), ikuti temu bual Ketua Wartawan Sinar Harian (SH) Edisi Selangor, Khairul Amri Yasin mengenai persepsi dan tanggapan beliau terhadap parti barunya itu termasuk reaksi apabila sesetengah pemimpin Pas mengaitkan ahli baru sepertinya, yang berasal daripada 'parti musuh' sebagai antara punca penularan amalan sogok wang yang hangat diperkatakan melanda Pas kini.
SH: Bagaimana Datuk merasakan penghijrahan ke dalam Pas mampu meneruskan aspirasi perjuangan untuk rakyat?
Zahar: Dalam negara, hanya ada dua parti Melayu dan keputusan untuk menyertai Pas selepas merasakan parti ini jauh lebih Islam berbanding UMNO. Sepanjang dalam UMNO, saya banyak menganjurkan aktiviti dan program berbantuk amal jariah namun selepas digantung, saya kena buat pilihan bagaimana untuk meneruskan aktiviti ini. Saya ada program pakej jenazah yang menguruskan segala aktiviti kematian untuk penduduk Petaling Jaya Selatan (PJS), saya ada Tabung Prihatin yang disertai 152 keluarga miskin selain kelas agama dan Fardu Ain yang perlu diteruskan.
SH: Apa persepsi sebelum dan selepas Datuk menyertai parti Pas?
Zahar: Saya bersyukur sepanjang menyertai Pas, banyak jemputan diterima untuk turut serta dalam program ceramah dan pelbagai aktiviti turun padang yang memberi ruang untuk saya bertemu secara lebih dekat dengan ahli dan kepimpinan Pas di peringkat menengah dan tinggi. Alhamdulillah sepanjang berada dalam Pas, saya sempat berkenalan dengan lebih 20 Pas Kawasan di seluruh negara termasuk Perak, Perlis, Terengganu dan Kedah.
Apabila mendapat peluang sebegini, barulah saya mampu membetulkan persepsi saya terhadap parti ini yang sepanjang saya berada dalam UMNO telah diberi gambaran tidak tepat termasuk Pas. Parti itu dilabelkan sebagai menggunakan agama untuk politik dan kebanyakan ahli mudanya agresif dan suka bergaduh. Namun, selepas berada dalam parti ini, apa yang saya nampak Pas adalah sebuah parti mengutamakan disiplin, ikhlas dan kental semangat perjuangan mereka
SH: Apabila Pas dikaitkan dengan dakwaan politik wang, apa reaksi Datuk?
Zahar: Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran perkara ini kerana sepanjang pengamatan saya tidak berlaku dalam Pas isu nak berebut jawatan, kalau boleh masing-masing menolak apabila ditawarkan sesuatu jawatan. Kalau di tempat saya, isu ini tidak berlaku tetapi saya tidak pasti di tempat lain. Kalau berlakupun mungkin hanya satu atau dua kes tetapi saya yakin sekiranya berlaku, ia tidaklah kritikal seperti berlaku dalam UMNO.
Namun saya menaruh keyakinan tinggi bahawa gejala ini tidak berlaku kerana merujuk kepada pengalaman saya yang turut sama dalam 'pertemuan rahsia' melibatkan pemimpin Pas dan UMNO Selangor, mereka cukup ikhlas dalam perjuangan dan tidak mudah dijual beli.
UMNO ketika itu telah membuat tawaran jawatan Menteri Besar kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan enam jawatan exco kepada Pas sekiranya mereka sedia membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu. Namun, tawaran tersebut ditolak dan sikap itu jugalah membuktikan Pas jujur dan mempunyai prinsip dalam perjuangan mereka. Rasionalnya, kalau jawatan sebesar itu pun ditolak, takkan pemimpin dan ahli mereka mudah serta terpesona dengan sogokan wang.
SH: Bagaimana perasaan Datuk selepas ahli baru seperti Datuk dikaitkan Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor sebagai punca politik wang dalam Pas?
Zahar: Saya macam tidak percaya tanggapan sebegitu dibuat terhadap ahli baru yang ikhlas menyertai perjuangan Pas selepas merasakan persepsi itu tidak selari dengan semangat perjuangan dan keikhlasan perjuangan mereka untuk agama. Berdasarkan pengalaman sendiri, penyertaan saya bersama ahli UMNO ke dalam Pas bukan atas agenda lain yang lari seperti yang telah saya nyatakan.
Setakat mana pengaruh ahli baru daripada parti lain yang masuk Pas boleh mempengaruhi ahli sedia ada, siapa kami, malah kalau ahli biasa sekalipun, sejauhmana kemampuan mereka untuk tabur duit, berapa banyak duit yang mereka ada. Kalau bekas pemimpin tinggi UMNO, bolehkah disenaraikan berapa ramai pemimpin tersebut yang telah menyertai Pas, lagipun siapa dalam Pas yang akan menerima aktiviti tidak bermoral seperti itu.
SH: Adakah rakan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) mempengaruhi perubahan asas perjuangan Pas?
Zahar: Susah saya nak komen kerana saya melihat Pas dan DAP berperanan sebagai ejen 'check and balance' kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mereka parti baru yang sesetengah pihak melihat kekuatannya bersandarkan pengaruh penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Mungkin ada mempersoalkan kesetiaan dan semangat perjuangan ahli mereka hingga berlakunya insiden lompat parti seperti yang berlaku terhadap dua wakil rakyat mereka di Perak. Keadaan ini menimbulkan tekanan dan perlu dibendung, di sini Pas dan DAP memainkan peranannya berkongsi pengalaman berpolitik termasuk mengelak berlakunya kes tersalah pilih calon.
Pada pendapat saya, tidak timbul perkongsian ini menyebabkan perjuangan Pas goyah memandangkan usia parti itu jauh lebih matang dan mempunyai pengalaman cukup luas dalam politik.
SH: Sebagai bekas pemimpin UMNO yang kini ahli baru Pas, apa harapan anda terhadap 'kesucian' perjuangan Pas ini?
Zahar: Alhamdulillah, sepanjang lebih lima bulan dalam Pas, saya dah bertemu hampir kesemua kepimpinan tinggi termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan, Nasharruddin Mat Isa, Datuk Kamaruddin Jaafar (Setiausaha Agung), Dr Hatta Ramli (Bendahari) dan kepimpinan peringkat negeri kecuali belum berkesempatan bertemu Datuk Husam Musa
Apa yang boleh saya simpulkan mereka adalah kategori pemimpin tidak berpura-pura dan setia terhadap perjuangan parti. Dalam kehangatan isu politik wang dalam Pas, saya tidak nampak isu ini sebagai perkara perlu dibimbangkan tetapi Pas perlu berhati-hati terhadap risikonya sekiranya PR berjaya ambil alih Kerajaan Pusat kelak.
Jumaat, 22 Mei 2009
Hakim: Zambry sah MB HARAM Perak
Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah. Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin. Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry. Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN. Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop. Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca. Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry. Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN. Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu. Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak. Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar. Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut. Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini. Sementara itu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan. Manakala sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini. |
Mahkamah Rayuan: Tiga hakim putus Nizar kalah
Wan Nordin Wan Yaacob Fri | May 22, 09 | 3:55:59 pm MYT | |
PUTRAJAYA, 22 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah dengan undian tiga hakim memberi keputusan menyebelahi Zambry. Hakim Dato' Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Dato' Zainun Ali dan Hakim Dato' Ahmad Maarop memberi keputusannya itu jam 3.50 petang tadi. Semalam, panel tiga hakim itu mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah. Permohonan Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak. Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim menetapkan bahawa Nizar tidak melepaskan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri Perak. Berhujah bagi pihak Nizar, peguam Sulaiman Abdullah, berkata mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Perak, Menteri Besar tidak memegang jawatan atas perkenan Sultan. Tetapi tambahnya, berdasarkan keyakinan anggota dewan undangan negeri, yang beliau mempunyai tanggungjawab terhadap mereka. "Oleh yang demikian, Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan. Nizar hanya boleh dipecat selepas undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota dewan undangan negeri," katanya. Sulaiman berkata Hakim Abdul Aziz bertindak betul apabila beliau mengguna pakai keputusan dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan iaitu satu-satunya cara bagi memecat Nizar daripada jawatan ialah melalui undi tidak percaya. "Oleh itu, kami menyatakan bahawa tidak ada sebab bagi mahkamah ini untuk tidak mengikut dan mengguna pakai kes Ningkan bagi kes kami ini," katanya. "Sama ada Menteri Besar berkenaan telah tidak lagi mendapat keyakinan majoriti, bukan diputuskan oleh rakyat Perak, dan bukan juga diputuskan oleh Sultan, tapi hanya diputuskan oleh anggota dewan undangan negeri yang dipilih," kata Sulaiman. Sulaiman mengakhiri sesi penghujahan sebelum mahkamah ditangguhkan pukul 5 petang semalam. Sementara itu di sebelah paginya peguam Dato' Cecil Abraham yang mewakili Zambry, menyenaraikan 24 alasan bagi membuat rayuan, dengan meminta mahkamah membuat ketetapan mengenai sembilan isu. "Soalnya ialah sama ada hakim yang mengendalikan kes itu membuat tafsiran yang betul mengenai Perkara 16, 18 dan 36 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak. Saya ingin berhujah bahawa Yang Arif Hakim berkenaan telah terkhilaf," katanya. Beliau berkata Perkara 16 amat jelas bahawa apabila seorang Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan, dia perlu meletak jawatan. "Ia tidak menyatakan beliau mesti kembali ke Dewan (untuk hadapi undi tidak percaya)," katanya. Beliau berkata hakim berkenaan juga tersilap kerana mengandaikan bahawa Sultan Perak tidak ada kuasa untuk memastikan sama ada terdapat satu kebuntuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sama ada Nizar telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan. "Kami juga ingin mengemukakan di sini bahawa undi tidak percaya bukanlah satu-satunya jalan untuk memastikan bahawa responden (Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota," katanya. Cecil berhujah bahawa mengikut Perlembagaan, tidak ada peruntukan khusus supaya undi tidak percaya diluluskan oleh DUN bagi memastikan Menteri Besar telah kehilangan kepercayaan. Dalam penghujahannya, Cecil juga berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusannya tanpa mengambil kira fakta tepat dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan kes itu. "Penghakiman itu, secara menyeluruh, tidak mengambil kira fakta dan dokumen berkenaan dan ini menjadikan pengisytiharan yang dibuat Mahkamah Tinggi, adalah silap," katanya. Cecil berkata, bukti dokumen menunjukkan tidak wujud kebuntuan dalam politik Perak sebelum Nizar menghadap Sultan Perak pada 4 Feb. "Ini kerana, pada 3 Feb, tiga anggota dewan undangan negeri Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), telah mengemukakan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan kepada baginda bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Nizar dan berikrar menyokong Barisan Nasional. "Surat berkenaan diterima Sultan pada pukul 3 petang, iaitu sebelum Sultan menerima menghadap Nizar pada pukul 5 petang. "Sehingga 5 petang semalam, apabila Nizar memohon pembubaran itu, bagaimanakah keadaan politik di Perak ketika itu? Yang Arif hakim perbicaraan telah gagal menimbangkan dan mengambil kira sepenuhnya perkara ini dalam penghakiman beliau," kata Cecil. Sementara itu, Abdul Gani berkata Nizar tidak boleh mendakwa beliau mendapat keyakinan majoriti kerana terdapat jumlah undi sama banyak iaitu 28 bagi keduadua pihak (Pakatan dan Barisan Nasional). "Dalam kes ini, 50-50. Ia bererti tidak ada majoriti atau minoriti. Malah, responden (Nizar) mendapat 28 undi, termasuk Speaker V.Sivakumar, tapi mengikut peraturan tetap, speaker tidak boleh mengundi," katanya. Abdul Gani juga berkata apabila Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, beliau mengaku berlaku kebuntuan dalam dewan undangan negeri itu. "Kebuntuan bererti tidak ada undi majoriti atau minoriti. Bagaimana pula, pada mulanya, Nizar berkata beliau mendapat undi majoriti, tapi pada waktu yang sama, mendakwa wujud kebuntuan," katanya. Selepas selesai perbicaraan semalam, Nizar berkata beliau yakin akan sokongan rakyat Perak terhadapnya. "Apa yang kami minta ini adalah untuk mereka dan apa yang kami lakukan ini hanyalah untuk mendapatkan keadilan melalui proses mahkamah," katanya. Terdahulu sebelum persidangan bermula, barisan peguam kedua-dua pihak mula memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi tadi. Nizar tiba kira-kira 15 minit kemudian bersama isteri dan beberapa penyokongnya. Pasukan polis kelihatan mula melakukan kawalan sejak awal pagi. Isu perundangan melibatkan Zambry dan Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Nizar selepas BN mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat. Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah. Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah. Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai. Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu. - azm/mks. _ |
Keputusan menyebelahi Zambry, saya mohon semua bertenang.
TAKLIMAT POLITIK & TARBIYYAH HARAKI
& TARBIYYAH HARAKI
Oleh
YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI TITI SERONG, PERAK
" Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kerajaan Negeri Perak "
22 MEI 2009 ( JUMAAT )
9.00 MALAM
PEJABAT PAS KAWASAN PJS
MUSLIMIN & MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR
Anjuran : Lajnah Tarbiyyah DPPPJS
ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob kembali kerahmatullah
Malaysiakini : ADUN PAS meninggal dunia
ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia kira-kira subuh hari ini di hospital Kota Bharu dan PAS memanggil satu sidang media di Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut.
Difahamkan Ismail, 60, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.
Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.
Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut – bawah parlimen Kuala Krai yang diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.
Pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur jam 11 pagi ini.
Beliau juga dijangka mengulas pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini sehingga 31 Mei.
Keputusan pilihanraya umum 2008 bagi N41 Manik Urai
Jumlah pengundi: 12,292 orang
Peratusan kaum: Melayu 99.25%, Cina 0.44%, India 26%, Lain-lain 0.02%
1. Ismail Yaacob (PAS) 5,746
2. Mohamed Zulkifli Omar (BN) 4,394
Majoriti: 1,352
Jumlah undi: 10,332
Peratus mengundi: 84.05%
Undi rosak: 192
Kami PAS Kawasan PJS mengucpkan TAKZIAH kepada sekelian ahli keluarga arwah....Al-Fatihah..