Selasa, 26 Mei 2009

Pas PJS Perkenal Pakej Urus Jenazah

PJS– Pas Kawasan Petaling Jaya Selatan (PJS) mengorak langkah dalam membantu masyarakat setempat dengan memperkenalkan bantuan pakej jenazah khusus kepada umat Islam yang tidak berkemampuan.

Timbalan Ketua Dewan Pemudanya, Ariffin Mahaiyuddin yang juga ( Ketua Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS PJS ) berkata, tujuan utama pakej tersebut diperkenalkan adalah untuk membantu umat Islam yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Menurutnya, pakej itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan Pas di negeri ini dan ia sebagai tanda keprihatinan parti itu terhadap kebajikan penduduk di kawasan PJS.

“Tujuan kita mengadakan perkhidmatan pakej jenazah ini, adalah semata-mata mahu membantu meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan dalam mengendalikan urusan pengebumian.

“Perkhidmatan ini terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira ideologi dan fahaman politik, apa yang penting mereka perlulah mengemukakan permohonan kepada Pas PJS terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini , semalam.

Ariffin berkata, bagi membolehkan penduduk mendapatkan perkhidmatan itu, si mati mestilah merupakan pemastautin dalam kawasan PJS.

Katanya, antara jenis perkhidmatan yang terdapat dalam pakej itu ialah kelengkapan kain kapan, memandikan jenazah, persediaan tanah perkuburan dan kenderaan van jenazah, semuanya disediakan secara percuma.

Namun katanya, sekiranya waris si mati ingin menguruskan jenazah di luar kawasan PJS, mereka perlulah menanggung kos petrol van jenazah, bayaran tol dan bacaan talkin.

“Waris si mati yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini perlulah membawa surat kematian dan dokumen berkaitan sebagai bukti dan rujukan kami.

“Sekiranya pemohon memilih untuk menggunakan perkhidmatan pakej jenazah yang disediakan pihak lain umpamanya daripada individu, masjid atau surau dan badan khairat kematian.

“Pas PJS tidak akan mempertimbangkan sebarang tuntutan untuk mengembalikan bayaran yang telah dibuat kepada pihak berkenaan,” katanya.

Untuk keterangan lanjut sila datang ke pejabat Pas PJS di No.19, Jalan PJS 2D/17, Taman Medan atau hubungi 03-77857279 / 03-77857285.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan