Ahad, 27 September 2009

Penduduk mahu NPE bina tembok pengadang


TAMAN DATUK HARUN - Insiden kenderaan pengguna lebuh raya NPE yang terlibat dalam kemalangan lalu terbabas sehingga masuk ke dalam kawasan perumahan di Jalan 2 dekat sini b ukan sahaja mengancam nyawa dan keselamatan penduduk, malah merosakkan kenderaan mereka yang diletakkan di hadapan rumah.

Terbaru, dalam insiden yang berlaku kira-kira 6.30 pagi semalam, dua buah kenderaan penduduk yang diletakkan di hadapan rumah rosak teruk akibat dilanggar kereta yang terbabas keluar daripada lebuh raya berkenaan.

Difahamkan, kemalangan itu merupakan insiden kali keenam dan penduduk mendakwa sudah memaklumkannya ke pengeta huan NPE, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

Pemilik kenderaan yang menjadi mangsa terbaru dalam kejadian semalam, Mohd Nor Zakaria mahu NPE lebih bertanggungjawab dan mengambil tindakan segera membina tembok pengadang agar kejadian sama tidak berulang.

Katanya, jangan sampai berlakunya kejadian yang melibatkan kematian, baru pihak berkenaan mengambil tindakan.

“Saya berharap pihak NPE dapat mengambil tindakan proaktif dalam memastikan keselamatan penduduk dan harta benda mereka sentiasa dalam keadaan selamat.

“Jangan tunggu sehingga ada nyawa penduduk terkorban baru mahu bertindak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 17, Dr Melasutra Mohd Dali berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kejuruteraan MBPJ, namun masih belum dapat dilaksanakan kerana menunggu jawapan dan tindakan dari pihak NPE yang bertanggungjawab atas lebuh raya berkenaan.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak majlis di bawah seliaan Jabatan Kejuruteraan, namun masih belum dapat dilaksanakan kerana menunggu jawapan dan tindakan dari pihak NPE.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu penduduk Jalan Dua terbabit menyelesaikan masalah untuk memohon tembok pengadang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian cuba menghubungi pihak NPE untuk mendapatkan maklum balas namun gagal dihubungi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan