Ahad, 27 September 2009

Penduduk mahu NPE bina tembok pengadang


TAMAN DATUK HARUN - Insiden kenderaan pengguna lebuh raya NPE yang terlibat dalam kemalangan lalu terbabas sehingga masuk ke dalam kawasan perumahan di Jalan 2 dekat sini b ukan sahaja mengancam nyawa dan keselamatan penduduk, malah merosakkan kenderaan mereka yang diletakkan di hadapan rumah.

Terbaru, dalam insiden yang berlaku kira-kira 6.30 pagi semalam, dua buah kenderaan penduduk yang diletakkan di hadapan rumah rosak teruk akibat dilanggar kereta yang terbabas keluar daripada lebuh raya berkenaan.

Difahamkan, kemalangan itu merupakan insiden kali keenam dan penduduk mendakwa sudah memaklumkannya ke pengeta huan NPE, namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas diterima.

Pemilik kenderaan yang menjadi mangsa terbaru dalam kejadian semalam, Mohd Nor Zakaria mahu NPE lebih bertanggungjawab dan mengambil tindakan segera membina tembok pengadang agar kejadian sama tidak berulang.

Katanya, jangan sampai berlakunya kejadian yang melibatkan kematian, baru pihak berkenaan mengambil tindakan.

“Saya berharap pihak NPE dapat mengambil tindakan proaktif dalam memastikan keselamatan penduduk dan harta benda mereka sentiasa dalam keadaan selamat.

“Jangan tunggu sehingga ada nyawa penduduk terkorban baru mahu bertindak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 17, Dr Melasutra Mohd Dali berkata, beliau sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Kejuruteraan MBPJ, namun masih belum dapat dilaksanakan kerana menunggu jawapan dan tindakan dari pihak NPE yang bertanggungjawab atas lebuh raya berkenaan.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak majlis di bawah seliaan Jabatan Kejuruteraan, namun masih belum dapat dilaksanakan kerana menunggu jawapan dan tindakan dari pihak NPE.

“Saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu penduduk Jalan Dua terbabit menyelesaikan masalah untuk memohon tembok pengadang tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian cuba menghubungi pihak NPE untuk mendapatkan maklum balas namun gagal dihubungi.

Sabtu, 26 September 2009

DPPPJS Menyampaikan Hamper Hari Raya Kepada Pondok-Pondok Polis





Petaling Jaya Selatan : Bagi menghargai jasa dan pengorbanan pasukan keselamatan yang menjalankan tugas sepanjang masa demi keamanan dan kesejahteraan rakyat, Dewan Pemuda PAS Kawasan Petaling Jaya Selatan ( DPPPJS ) telah menyampaikan sumbangan berbentuk hamper dan Kad Hari Raya kepada 3

Pondok Polis di sekitar PJS ( Pondok Polis Tmn. Medan, Tmn. Medan Baru, dan Tmn. Dato' Harun ).

Ketua DPPPJS ( Ahmad Shahrum Md Daud ) sendiri telah menyampaikan Sumbangan-sumbangan tersebut yang turut disertai oleh Timbalan, Naib dan Ahli Jawatnkuasa Dewan tersebut.

“Mereka memikul tugas dan tanggungjawab berat menjaga kesejahteraan dan ketenteraman awam agar rakyat dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan lain-lain perayaan ”, kata ketua DPPPJS.

Menurutnya, walaupun sumbangan Hari Raya yang tidak seberapa nilainya, tetapi yang penting ialah ingatan terhadap perkhidmatan mereka kepada bangsa dan negara.

Sebelum itu DPPPJS telah menyampaikan sumbangan air minuman dan risalah aidilfitri kepada Jamaah Masjid Nurul Ehsan Kampong Medan dan Masjid Jumhuriah Taman Dato’ Harun, setelah solat jumaat sempena kehadiran 1 syawal.


IFTAR PAS PJS






16 Septermber 2009 : PAS KAWASAN & DEWAN-DEWAN ( PEMUDA & MUSLIMAT ) telah mengadakan majlis berbuka puasa bersama, bagi mengeratkan lagi ukhuwah dikalangan Ahli-ahli Jawatankuasanya.

Walaupun kehadiran agak sedikit akibat dari hujan lebat & program-program lain yang bertindih, namun program tersebut tetap meriah dan ceria.

PAS PJS - Sumbangan Duit Raya Kepada Fakir Miskin Dan Ibu Tunggal





Petaling Jaya Selatan : Sempena Aidilfitri ini, PAS Kawasan PJS telah menghulurkan sumbangan duit raya kepada golongan fakir miskin dan ibu tunggal. Majlis penyerahan itu telah dihadiri lebih 40 penerima, dan sumbangan telah disampaikan oleh Yang Dipertua Kawasan ( Ustaz Haji Ghazali Shaari Al-Hafiz ).



Sumbangan tersebut tidak tertumpu kepada golongan melayu, malah kaum India juga turut mendapat sumbangan tersebut. Pada Majlis itu Ustaz Ghazali didalam ucapan ringkasnya mengharapkan doa daripada semua pihak, agar PAS PJS dapat menghulurkan bantuan dan berterusan membela nasib rakyat.

Jumaat, 25 September 2009

Perutusan Hari Raya Presiden PAS


Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ramadhan al-Mubarak telah pergi meninggalkan kita, setelah kita berpuasa sebulan dalam bulan yang diberkati ini. Moga-moga Ramadhan yang baru sahaja berlalu itu telah mendidik diri kita menjadi orang yang bertaqwa sebagaimana natijah serta hikmat puasa itu sendiri.

Tanda orang bertaqwa pula ialah kita menjadikan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. sebagai panduan yang hakiki dalam kita melayari bahtera kehidupan yang penuh dengan cabaran ini. Ia merangkumi pelbagai cabang kehidupan kita: bukan setakat makan-minum-pakaian yang halal semata-mata, tetapi juga cara untuk menguruskan rumahtangga, berhubung sesama manusia sebagai rumpun jiran tetangga dalam sebuah masyarakat, bahkan hinggalah kepada cara bernegara.

Bersempena dengan kedatangan bulan Syawal ini, marilah sama-sama kita membuktikan tarbiyah Ramadhan dengan kita terus istiqamah kepada panduan al-Quran dan Sunnah, marilah kita menguatkan persaudaraan di kalangan umat Islam, bermaafan dan berkasih sayang di antara satu sama lain, kunjung mengunjung dengan penuh tawaduk dan berpandukan kepada akhlak Islam yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. Dengan buah taqwa ini jugalah ianya mengajar kita untuk menyelesaikan semua masalah dan perkara yang menjadi perbalahan di kalangan umat Islam khususnya dalam perkara politik yang menentukan dasar dan halatuju negara dengan panduan al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan ucapan �Eid Mubarak� kepada seluruh ahli dan penyokong serta saf kepimpinan Parti Islam SeMalaysia (PAS), dan juga seluruh rakyat beragama Islam di dalam negara kita ini tanpa mengira fahaman politik mereka. Marilah kita sama-sama bermaaf-maafan dan menjadikan Syawal ini sebagai titik tolak kepada keyakinan kita bahawa al-Quran dan Sunnah Rasulullah s.a.w. adalah panduan kita yang hakiki dalam kehidupan kita ini.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar.

Ikhlas,
Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Presiden PAS

PERUTUSAN HARI RAYA MURSYIDUL AM PAS


Assalamu'alaikum wa Rahmatullah,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu." (Surah Al Baqarah : 185)

Setelah kita berpuasa, bertarawikh, berqiyamullail, bertadarus, bersedekah, berzikir dan sebagainya sepanjang Ramadhan, Allah S.W.T menyuruh kita bertakbir dalam berhari raya.

Takbir ialah sebutan Allahu Akbar yang bermaksud "Allah Adalah Yang Terbesar". Manakala yang lainnya adalah yang paling kecil dan mesti dipinggirkan apabila bertembung dengan Kehendak Allah S.W.T.

Malangnya ramai orang yang menyebut Allahu Akbar sebagai satu tradisi sahaja. Inilah masalah besar yang berlaku di kalangan umat Islam sejak kebelakangan ini.

Hari Raya bukanlah tradisi ciptaan orang Arab, bukan juga tradisi ciptaan orang Melayu. Bahkan ia merupakan kehendak agama.

Antara nikmat berhari raya ialah kita boleh makan dan minum setelah sebulan penuh tak boleh makan harta sendiri. Nikmat ini tak dapat dirasai oleh orang yang tidak berpuasa. Orang yang perutnya kenyang sepanjang tahun, tak terasa sedikit pun kemanisan nikmat ini.

Apabila disebut hari raya, buka saja anak kecil bahkan orang tua dan orang sakit pun turut berseronok sama. Islam minta kita bersukaria dengan amalan ziarah dan bermaafan antara satu sama lain.

Pada hari raya kita tak dibenarkan berpuasa sekalipun puasa itu sendiri adalah ibadat. Tapi dalam persoalan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya, kita tak boleh buat pandai-pandai.

Apabila Allah Ta'ala minta kita mengerjakan ibadat, maka kita perlu mengerjakannya mengikut cara dan masa yang telah ditentukan.

Begitu juga dalam kita berhari raya, tak boleh kita buat ikut pandai sendiri. Kita berseronok dalam lingkungan yang dikehendaki oleh Allah. Sebab itu kita tak boleh berhari raya dengan pakaian, pergaulan, makan minum dan hiburan yang terlarang dan berunsur maksiat.

Berapa ramai anak-anak mengalami putus jari tangan, buta mata, muka melecur dan sebagainya akibat bermain mercun tanpa kawalan pada setiap tahun.

Berapa ramai pula yang terlibat dengan kemalangan maut pada setiap musim perayaan akibat kelalaian dan tidak memperdulikan peraturan jalanraya sehingga mengorbankan ramai orang yang tidak bersalah.

Apabila hari raya, memang menjadi fitrah manusia suka berseronok. Tapi Islam mengajar kita mengikut peraturan tertentu supaya sambutan hari raya menjadi ibadat yang mendatangkan pahala. Antara jadual berhari raya, kita disunatkan mandi sebelum pergi ke masjid.

Kalau kita mandi biasa, tubuh kita saja yang bersih. Tapi apabila kita niat bahawa mandi sunat hari raya, bukan tubuh kita saja yang bersih dan berbau sedap bahkan kita dapat pahala.

Sesetengah orang tak berapa minat sangat nak cari pahala. Apa yang dia minat ialah cari duit dan harta saja. Kepada orang-orang sebegini, dia kena faham bahawa pahala adalah mata wang (currency) yang sangat berguna apabila kita masuk kubur. Apabila kita masuk kubur, kita tidak mati seratus peratus.

Yang mati dan hancur menjadi debu hanyalah jasad kita. Roh dan jasad kita akhirnya akan dibangkitkan kembali di akhirat nanti.

Sebagaimana jasad manusia di dunia ini berkehendak kepada makan minum. Untuk memenuhi keperluan fizikal di dunia ini, kita terpaksa gunakan wang untuk membeli makanan, minuman dan pelbagai keperluan lain.

Tapi apabila saja kita masuk ke dalam kubur, semua jenis mata wang dunia ini tidak laku lagi. Duit Amerika tak laku. Mas jongkong pun tak laku. Yang lakunya ialah pahala.

Pahala adalah aset dan mata wang yang kita sangat perlukan semasa berada di dalam kubur dan di Padang Mahsyar. Salah satu cara untuk kita mendapat pahala selain daripada berpuasa, bertadarus, bertarawikh ialah dengan kita berhari raya menurut cara yang telah ditunjukkan oleh Islam.

Kita diminta membayar zakat fitrah untuk membantu golongan fakir miskin. Tentunya oarng yang tidak berkemampuan tidak ramai.

Jadi, apabila semua orang yang berkemampuan membayar zakat fitrah, kita boleh fikir sendiri betapa banyaknya harta yang diberikan kepada fakir miskin yang membolehkan mereka tumpang berseronok sama.

Pada hari raya kita diminta memakai pakaian cantik, seboleh-bolehnya pakaian yang belum dipakai lagi. Kalau pakaian sudah dipakai pun tak apa, asalkan halal dan bersih. Kita tetap juga akan mendapat pahala.

Kita juga diminta membawa anak-anak ke masjid, ke surau, ke musalla untuk bertakbir mengagungkan Allah S.W.T dan seterusnya untuk mengerjakan sembahyang sunat hari raya demi untuk bersyukur di atas hidayah kurniaan Allah kepada kita dan juga untuk bertaqarrub kepada Allah 'Azza Wa Jalla.

Sembahyang sunat Aidilfitri ada bacaannya sepertimana yang dibacakan oleh Rasulullah S.A.W. Dalam sembahyang sunat Aidilfitri, Rasulullah S.A.W membaca Surah Qaaf dalam raka'at yang pertama dan Surah Al Qamar pada raka'at kedua. Kedua-dua Surah ini menyentuh tentang Kiamat.

Ketika umat Islam sedang berseronok, tiba-tiba Nabi kita membacakan Surah yang menceritakan tentang kedahsyatan huru-hara yang pasti akan berlaku pada Hari Kiamat nanti. Sekaligus ia bermaksud bahawa segala nikmat hidup di dunia ini pasti akan disoal dan akan dikenakan pembalasan.

Siapa pun yang hidupnya di dunia ini, apabila selaras dengan kehendak Al Quran akan dimasukkan ke dalam syurga. Apabila tak selaras dengan kehendak Al Quran, baik dalam masalah politik, ekonomi, kebudayaan, pendidikan, rumah tangga dan sebagainya dia akan masuk neraka. Wallahua'alam.