Sabtu, 30 Mei 2009

MASALAH PENDUDUK RUMAH PANJANG PJS1 AKAN BERAKHIR



Penantian 29 keluarga rumah panjang di PJS1, Petaling Jaya akan berakhir.

Mereka telah menunggu hampir 7 tujuh tahun untuk rumah kos rendah mereka tetapi ia tidak dapat dibina kerana terdapat perintah mahkamah menghalang pembinaannya.

Ianya diambil oleh penduduk setempat yang membantah pembinaan pangsapuri tersebut.

Selain dari itu, rumah panjang itu juga terletak di atas tapak sekolah yang perlu dimulakan pembinaannya dengan segera.

Beberapa siri perbincangan telah diadakan yang melibatkan Exco Perumahan, Pengurusan Bandar & Setinggan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan pemaju untuk mencari satu penyelesaian.

Akhirnya pemaju telah bersetuju untuk membina pangsapuri tersebut di tapak yang lain. Oleh yang demikian, penduduk rumah panjang itu akan mendapatkan kepastian bila rumah mereka akan siap.

Maka penduduk akan mendapat rumah mereka dan sekolah akan dapat bina.

Walau bagaimanapun, mereka terpaksa berpindah buat sementara waktu ke Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 sehingga rumah mereka siap dibina.

Tetapi mereka akan dibayar saguhati untuk kos perpindahan. MBPJ juga akan menyediakan pengangkutan bagi anak-anak mereka untuk berulang-alik ke sekolah. Kerja-kerja membaik pulih PPR itu juga akan dijalankan.

Sebelum ini, MBPJ telah cuba mendapatkan rumah-rumah di sekitar kawasan rumah panjang itu tetapi kadarnya terlalu mahal.

Kerajaan Negeri berharap penduduk akan menerima tawaran ini agar pembinaan sekolah ini dapat dimulakan dengan segera demi kepentingan rakyat.

Iskandar Abdul Samad
Exco/Pengerusi Tetap
Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan
30 Mei 2009

LAPORAN KERUNTUHAN JAYA SUPERMARKET AMAT PENTING

Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji dengan teliti laporan keruntuhan bangunan Jaya Supermarket, Petaling Jaya semalam.

Kompleks tersebut adalah dalam proses dimajukan semula di mana satu blok akan dirobohkan dan dua blok lagi akan dinaiktaraf. Blok yang sedang dirobohkan ini telah runtuh dan telah meragut beberapa nyawa.

Laporan keruntuhan ini penting kerana Kerajaan Negeri Selangor merancang untuk membangunkan semula kawasan-kawasan lama di negeri ini iaitu dengan melakukan "urban redevelopment". "Urban Redevelopment" merupakan sebahagian dari pakej ransangan ekonomi Kerajaan Negeri Selangor dan ia memerlukan perobohan bangunan-bangunan lama dan dimajukan dengan pembangunan yang lebih berdaya saing.

Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor akan mengkaji laporan keruntuhan ini untuk memastikan apabila "Urban Redevelopment" ini dilaksanakan, tragedi Jaya Supermarket ini tidak akan berulang.

Iskandar Abdul Samad
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Selangor
29 Mei 2009

Monolog Hati Seorang Pejuang

Dipetik dari : http://episodeperjuangan.blogspot.com/


Muhasabah
Perjuangan :

Engkau ingin berjuang ,
Tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak begitu setia kawan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup berkorban

Engkau ingin berjuang,
Tapi hanya ingin jadi pemimpin

Engkau ingin berjuang,
Menjadi pengikut agak segan

Engkau ingin berjuang,
Tolak ansur engkau tidak amalkan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sanggup menerima cabaran

Engkau ingin berjuang,
Kesihatan dan kerehatan,
Tidak sanggup engkau korbankan

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak mampu menerima ujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi engkau rosak oleh pujian

Engkau ingin berjuang,
Tapi tidak sepenuhnya menerima pimpinan,

Engkau ingin berjuang,
Masa tidak sanggup engkau luangkan

Engkau ingin berjuang,
Karenah isteri tidak kau tahan

Engkau ingin berjuang,
Rumahtangga lintang-pukang

Engkau ingin berjuang,
Diri engkau tidak engkau tingkatkan

Engkau ingin berjuang,
Disiplin diri engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Janji kurang engkau tunaikan

Engkau ingin berjuang,
Kasih sayang engkau cuaikan

Engkau ingin berjuang,
Tetamu engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Anak isteri engkau lupakan

Engkau ingin berjuang,
Ilmu berjuang engkau tinggalkan

Engkau ingin berjuang,
Kekasaran dan kekerasan engkau amalkan

Engkau ingin berjuang,
Pandangan engkau tidak diselaraskan

Engkau ingin berjuang,
Rasa bertuhan engkau abaikan

Engkau ingin berjuang,
Iman dan taqwa engkau lupakan

Ya sebenarnya apa yang Engkau hendak perjuangkan...

Khamis, 28 Mei 2009

Kesan Zikir Terhadap Otak

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.

Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks. Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain.
Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudaraku se-Islam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Rabu, 27 Mei 2009

Najib Tak Datang???






Najib telah tidak hadir ke majlis yang diadakan di PJS 4 Taman Medan baru-baru ini...menimbulkan pelbagai pesolan dikalangan rakyat ..... akibat ketidak hadiran ke ( bahagian angkat )beliau di Petaling Jaya Selatan....

Kenapa tiba2 Najib tidak hadir ke majlis tersebut?????? Adakah mungkin bahagian risikan Najib telah mendapati bahawa sambutan daripada rakyat tempatan hambar dan hanya anak-anak kecil sahaja memenuhi program tersebut dengan umpanan hadiah-hadiah dari beberapa slot program yang diadakan....

Sejak bilakah Najib & umno memerintah kerajaan negeri???? (Gambar Lambang Kerajaan negeri Selangor pada banner & banting)

Siapakah penganjur bagi program tersebut????

Selasa, 26 Mei 2009

Pas PJS Perkenal Pakej Urus Jenazah

PJS– Pas Kawasan Petaling Jaya Selatan (PJS) mengorak langkah dalam membantu masyarakat setempat dengan memperkenalkan bantuan pakej jenazah khusus kepada umat Islam yang tidak berkemampuan.

Timbalan Ketua Dewan Pemudanya, Ariffin Mahaiyuddin yang juga ( Ketua Lajnah Kebajikan Dewan Pemuda PAS PJS ) berkata, tujuan utama pakej tersebut diperkenalkan adalah untuk membantu umat Islam yang berpendapatan kurang RM2,000 sebulan.

Menurutnya, pakej itu adalah yang pertama seumpamanya dilaksanakan Pas di negeri ini dan ia sebagai tanda keprihatinan parti itu terhadap kebajikan penduduk di kawasan PJS.

“Tujuan kita mengadakan perkhidmatan pakej jenazah ini, adalah semata-mata mahu membantu meringankan beban umat Islam yang kurang berkemampuan dalam mengendalikan urusan pengebumian.

“Perkhidmatan ini terbuka kepada semua umat Islam tanpa mengira ideologi dan fahaman politik, apa yang penting mereka perlulah mengemukakan permohonan kepada Pas PJS terlebih dahulu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, di sini , semalam.

Ariffin berkata, bagi membolehkan penduduk mendapatkan perkhidmatan itu, si mati mestilah merupakan pemastautin dalam kawasan PJS.

Katanya, antara jenis perkhidmatan yang terdapat dalam pakej itu ialah kelengkapan kain kapan, memandikan jenazah, persediaan tanah perkuburan dan kenderaan van jenazah, semuanya disediakan secara percuma.

Namun katanya, sekiranya waris si mati ingin menguruskan jenazah di luar kawasan PJS, mereka perlulah menanggung kos petrol van jenazah, bayaran tol dan bacaan talkin.

“Waris si mati yang ingin mendapatkan perkhidmatan ini perlulah membawa surat kematian dan dokumen berkaitan sebagai bukti dan rujukan kami.

“Sekiranya pemohon memilih untuk menggunakan perkhidmatan pakej jenazah yang disediakan pihak lain umpamanya daripada individu, masjid atau surau dan badan khairat kematian.

“Pas PJS tidak akan mempertimbangkan sebarang tuntutan untuk mengembalikan bayaran yang telah dibuat kepada pihak berkenaan,” katanya.

Untuk keterangan lanjut sila datang ke pejabat Pas PJS di No.19, Jalan PJS 2D/17, Taman Medan atau hubungi 03-77857279 / 03-77857285.

Amalan sagu hati menjelang Muktamar , Wan Hasrina beri penjelasan.


KUALA LUMPUR,18 Mei - Kenyataan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian yang berbunyi, "Kemasukan ahli- ahli baru yang juga bekas ahli parti lain termasuk Barisan Nasional (BN) ke dalam PAS antara faktor menularnya amalan sagu hati atau sogokan kepada perwakilan menjelang Muktamar PAS Jun ini."

Ketua Dewan Muslimat PAS Negeri Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan oleh Sinar Harian pada 18 Mei itu, menyimpang langsung daripada kenyataan sebenar yang dibuat oleh beliau.

Beliau dalam kenyataan sebenarnya menyebut, "Untuk memastikan PAS terus bersandar pada dasar yang sebenar seperti mana yang termaktub di dalam perlembagaan PAS itu menjadikan al-Quran dan Sunnah sebagai rujukkan, maka PAS perlulah meneruskan proses pendidikan (tarbiyah) kepada ahli-ahlinya terutamanya kepada ahli-ahli baru yang mana kita tahu kebanyakan ahli-ahli baru datangnya dari berbagai latar belakang pendidikan dan fahaman politik termasuklah mereka yang datang dari Umno dan orang-orang yang tidak berparti. Oleh itu dengan proses tarbiyyah ini saja kita yakin PAS dapat membendung budaya-budaya yang tidak sihat daripada menular di dalam perjuangan PAS ini."

Menurut beliau, "tidak timbul langsung kenyataan saya yang mengaitkan ahli-ahli baru ini dengan gejala politik wang kerana saya percaya politik wang tidak wujud di dalam proses pemilihan kepimpinan di semua peringkat dalam PAS".

Selar beliau, kenyataan yang dibuat oleh Sinar Harian ini dilihat hanya untuk menimbulkan konflik antara ahli PAS memandangkan muktamar tahun ini merupakan tahun pemilihan.

Siapa kami untuk rosakkan PAS : Dato Kapten (B) Hj. Zahar Hashim

Penyertaan Bekas Ketua UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS), Kapten (B) Datuk Zahar Hashim ke dalam Pas mencetuskan kontroversi dalam kalangan ahli parti asalnya. Lebih hangat, penghijrahan beliau yang turut disertai hampir 20 ketua UMNO cawangan menyebabkan UMNO bahagian tersebut diberitakan lumpuh. Keputusan yang dikaitkan kekecewaan beliau terhadap situasi UMNO ketika itu yang kritikal dengan permasalahan politik wang disambut baik kepimpinan Pas malah satu majlis istimewa dianjurkan Pas Selangor meraikan kemasukan beliau ke dalam Pas.

Selepas lebih lima bulan di dalam Pas (bermula 21 Disember 2008), ikuti temu bual Ketua Wartawan Sinar Harian (SH) Edisi Selangor, Khairul Amri Yasin mengenai persepsi dan tanggapan beliau terhadap parti barunya itu termasuk reaksi apabila sesetengah pemimpin Pas mengaitkan ahli baru sepertinya, yang berasal daripada 'parti musuh' sebagai antara punca penularan amalan sogok wang yang hangat diperkatakan melanda Pas kini.

SH: Bagaimana Datuk merasakan penghijrahan ke dalam Pas mampu meneruskan aspirasi perjuangan untuk rakyat?

Zahar: Dalam negara, hanya ada dua parti Melayu dan keputusan untuk menyertai Pas selepas merasakan parti ini jauh lebih Islam berbanding UMNO. Sepanjang dalam UMNO, saya banyak menganjurkan aktiviti dan program berbantuk amal jariah namun selepas digantung, saya kena buat pilihan bagaimana untuk meneruskan aktiviti ini. Saya ada program pakej jenazah yang menguruskan segala aktiviti kematian untuk penduduk Petaling Jaya Selatan (PJS), saya ada Tabung Prihatin yang disertai 152 keluarga miskin selain kelas agama dan Fardu Ain yang perlu diteruskan.

SH: Apa persepsi sebelum dan selepas Datuk menyertai parti Pas?

Zahar: Saya bersyukur sepanjang menyertai Pas, banyak jemputan diterima untuk turut serta dalam program ceramah dan pelbagai aktiviti turun padang yang memberi ruang untuk saya bertemu secara lebih dekat dengan ahli dan kepimpinan Pas di peringkat menengah dan tinggi. Alhamdulillah sepanjang berada dalam Pas, saya sempat berkenalan dengan lebih 20 Pas Kawasan di seluruh negara termasuk Perak, Perlis, Terengganu dan Kedah.

Apabila mendapat peluang sebegini, barulah saya mampu membetulkan persepsi saya terhadap parti ini yang sepanjang saya berada dalam UMNO telah diberi gambaran tidak tepat termasuk Pas. Parti itu dilabelkan sebagai menggunakan agama untuk politik dan kebanyakan ahli mudanya agresif dan suka bergaduh. Namun, selepas berada dalam parti ini, apa yang saya nampak Pas adalah sebuah parti mengutamakan disiplin, ikhlas dan kental semangat perjuangan mereka

SH: Apabila Pas dikaitkan dengan dakwaan politik wang, apa reaksi Datuk?


Zahar: Saya tidak pasti sejauh mana kebenaran perkara ini kerana sepanjang pengamatan saya tidak berlaku dalam Pas isu nak berebut jawatan, kalau boleh masing-masing menolak apabila ditawarkan sesuatu jawatan. Kalau di tempat saya, isu ini tidak berlaku tetapi saya tidak pasti di tempat lain. Kalau berlakupun mungkin hanya satu atau dua kes tetapi saya yakin sekiranya berlaku, ia tidaklah kritikal seperti berlaku dalam UMNO.

Namun saya menaruh keyakinan tinggi bahawa gejala ini tidak berlaku kerana merujuk kepada pengalaman saya yang turut sama dalam 'pertemuan rahsia' melibatkan pemimpin Pas dan UMNO Selangor, mereka cukup ikhlas dalam perjuangan dan tidak mudah dijual beli.

UMNO ketika itu telah membuat tawaran jawatan Menteri Besar kepada Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan enam jawatan exco kepada Pas sekiranya mereka sedia membentuk kerajaan bersama Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya umum Mac tahun lalu. Namun, tawaran tersebut ditolak dan sikap itu jugalah membuktikan Pas jujur dan mempunyai prinsip dalam perjuangan mereka. Rasionalnya, kalau jawatan sebesar itu pun ditolak, takkan pemimpin dan ahli mereka mudah serta terpesona dengan sogokan wang.

SH: Bagaimana perasaan Datuk selepas ahli baru seperti Datuk dikaitkan Ketua Dewan Muslimat Pas Selangor sebagai punca politik wang dalam Pas?

Zahar: Saya macam tidak percaya tanggapan sebegitu dibuat terhadap ahli baru yang ikhlas menyertai perjuangan Pas selepas merasakan persepsi itu tidak selari dengan semangat perjuangan dan keikhlasan perjuangan mereka untuk agama. Berdasarkan pengalaman sendiri, penyertaan saya bersama ahli UMNO ke dalam Pas bukan atas agenda lain yang lari seperti yang telah saya nyatakan.

Setakat mana pengaruh ahli baru daripada parti lain yang masuk Pas boleh mempengaruhi ahli sedia ada, siapa kami, malah kalau ahli biasa sekalipun, sejauhmana kemampuan mereka untuk tabur duit, berapa banyak duit yang mereka ada. Kalau bekas pemimpin tinggi UMNO, bolehkah disenaraikan berapa ramai pemimpin tersebut yang telah menyertai Pas, lagipun siapa dalam Pas yang akan menerima aktiviti tidak bermoral seperti itu.

SH: Adakah rakan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR) mempengaruhi perubahan asas perjuangan Pas?

Zahar: Susah saya nak komen kerana saya melihat Pas dan DAP berperanan sebagai ejen 'check and balance' kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana mereka parti baru yang sesetengah pihak melihat kekuatannya bersandarkan pengaruh penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mungkin ada mempersoalkan kesetiaan dan semangat perjuangan ahli mereka hingga berlakunya insiden lompat parti seperti yang berlaku terhadap dua wakil rakyat mereka di Perak. Keadaan ini menimbulkan tekanan dan perlu dibendung, di sini Pas dan DAP memainkan peranannya berkongsi pengalaman berpolitik termasuk mengelak berlakunya kes tersalah pilih calon.

Pada pendapat saya, tidak timbul perkongsian ini menyebabkan perjuangan Pas goyah memandangkan usia parti itu jauh lebih matang dan mempunyai pengalaman cukup luas dalam politik.

SH: Sebagai bekas pemimpin UMNO yang kini ahli baru Pas, apa harapan anda terhadap 'kesucian' perjuangan Pas ini?

Zahar: Alhamdulillah, sepanjang lebih lima bulan dalam Pas, saya dah bertemu hampir kesemua kepimpinan tinggi termasuk Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan, Nasharruddin Mat Isa, Datuk Kamaruddin Jaafar (Setiausaha Agung), Dr Hatta Ramli (Bendahari) dan kepimpinan peringkat negeri kecuali belum berkesempatan bertemu Datuk Husam Musa

Apa yang boleh saya simpulkan mereka adalah kategori pemimpin tidak berpura-pura dan setia terhadap perjuangan parti. Dalam kehangatan isu politik wang dalam Pas, saya tidak nampak isu ini sebagai perkara perlu dibimbangkan tetapi Pas perlu berhati-hati terhadap risikonya sekiranya PR berjaya ambil alih Kerajaan Pusat kelak.

Jumaat, 22 Mei 2009

Hakim: Zambry sah MB HARAM Perak


Mahkamah Rayuan hari ini mengumumkan Datuk Seri Zambry Abd Kadir sebagai menteri besar Perak yang sah.

Keputusan itu membatalkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu yang mengesahkan kedudukan asal Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Panel tiga hakim itu - yang telah mendengar hujah kedua-dua pihak di Putrajaya seharian semalam - sebulat suara menerima rayuan Zambry.

Dalam penghakimannya, ketiga-tiga mereka berhujah bahawa hakim mahkamah tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim membuat kesilapan dalam keputusannya dan Sultan Perak layak melantik Zambry apabila Mohamad Nizar hilang majoriti dalam DUN.

Panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut ialah Datuk Md Raus Sharif, Datuk Zainun Ali dan Datuk Ahmad Maarop.

Mahkamah senyap ketika penghakiman dibaca.

Nizar diwakili oleh sepasukan lapan peguam yang diketuai oleh Sulaiman Abdullah, manakala peguam Cecil Abraham mewakili Zambry.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail - sebagai pencelah - turut hadir. Manakala peguam Mohd Hafarizam Harun, Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan M Reza Hassan menjadi pemerhati bagi pihak BN.

Pada 11 Mei lalu, mahkamah tinggi mengumumkan Mohamad Nizar sebagai menteri besar sah setelah digugurkan jawatan tersebut, awal Februari lalu.

Abdul Aziz memutuskan bahawa wakil rakyat PAS itu tidak pernah mengosongkan jawatannya itu kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota DUN Perak.

Dalam kes ini, Abdul Aziz berkata tiada undi tidak percaya telah diusulkan terhadap Mohamad Nizar.

Tetapi kegembiraan menteri besar Pakatan Rakyat itu tidak kekal apabila Mahkamah Rayuan keesokannya membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan mahkamah tersebut.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan berhubung perkara tersebut hari ini.

Sementara itu, Sulaiman memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Persekutuan.

Manakala sekumpulan 200 orang di luar mahkamah, kedengaran melaungkan rasa tidak puashati mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan hari ini.

Mahkamah Rayuan: Tiga hakim putus Nizar kalah

Wan Nordin Wan Yaacob
Fri | May 22, 09 | 3:55:59 pm MYT

PUTRAJAYA, 22 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak yang sah dengan undian tiga hakim memberi keputusan menyebelahi Zambry.

Hakim Dato' Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Dato' Zainun Ali dan Hakim Dato' Ahmad Maarop memberi keputusannya itu jam 3.50 petang tadi.

Semalam, panel tiga hakim itu mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah.

Permohonan Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak.

Pada 11 Mei, Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Aziz Abdul Rahim menetapkan bahawa Nizar tidak melepaskan jawatan Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri Perak.

Berhujah bagi pihak Nizar, peguam Sulaiman Abdullah, berkata mengikut Perkara 16(6) Perlembagaan Perak, Menteri Besar tidak memegang jawatan atas perkenan Sultan.

Tetapi tambahnya, berdasarkan keyakinan anggota dewan undangan negeri, yang beliau mempunyai tanggungjawab terhadap mereka.

"Oleh yang demikian, Nizar tidak boleh dipecat oleh Sultan. Nizar hanya boleh dipecat selepas undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota dewan undangan negeri," katanya.

Sulaiman berkata Hakim Abdul Aziz bertindak betul apabila beliau mengguna pakai keputusan dalam kes bekas Ketua Menteri Sarawak Stephen Kalong Ningkan iaitu satu-satunya cara bagi memecat Nizar daripada jawatan ialah melalui undi tidak percaya.

"Oleh itu, kami menyatakan bahawa tidak ada sebab bagi mahkamah ini untuk tidak mengikut dan mengguna pakai kes Ningkan bagi kes kami ini," katanya.

"Sama ada Menteri Besar berkenaan telah tidak lagi mendapat keyakinan majoriti, bukan diputuskan oleh rakyat Perak, dan bukan juga diputuskan oleh Sultan, tapi hanya diputuskan oleh anggota dewan undangan negeri yang dipilih," kata Sulaiman.

Sulaiman mengakhiri sesi penghujahan sebelum mahkamah ditangguhkan pukul 5 petang semalam.

Sementara itu di sebelah paginya peguam Dato' Cecil Abraham yang mewakili Zambry, menyenaraikan 24 alasan bagi membuat rayuan, dengan meminta mahkamah membuat ketetapan mengenai sembilan isu.

"Soalnya ialah sama ada hakim yang mengendalikan kes itu membuat tafsiran yang betul mengenai Perkara 16, 18 dan 36 Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak. Saya ingin berhujah bahawa Yang Arif Hakim berkenaan telah terkhilaf," katanya.

Beliau berkata Perkara 16 amat jelas bahawa apabila seorang Menteri Besar hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan, dia perlu meletak jawatan.

"Ia tidak menyatakan beliau mesti kembali ke Dewan (untuk hadapi undi tidak percaya)," katanya.

Beliau berkata hakim berkenaan juga tersilap kerana mengandaikan bahawa Sultan Perak tidak ada kuasa untuk memastikan sama ada terdapat satu kebuntuan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau sama ada Nizar telah hilang kepercayaan majoriti anggota Dewan.

"Kami juga ingin mengemukakan di sini bahawa undi tidak percaya bukanlah satu-satunya jalan untuk memastikan bahawa responden (Nizar) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti anggota," katanya.

Cecil berhujah bahawa mengikut Perlembagaan, tidak ada peruntukan khusus supaya undi tidak percaya diluluskan oleh DUN bagi memastikan Menteri Besar telah kehilangan kepercayaan.

Dalam penghujahannya, Cecil juga berkata Mahkamah Tinggi membuat keputusannya tanpa mengambil kira fakta tepat dan dokumen yang mempunyai kaitan dengan kes itu.

"Penghakiman itu, secara menyeluruh, tidak mengambil kira fakta dan dokumen berkenaan dan ini menjadikan pengisytiharan yang dibuat Mahkamah Tinggi, adalah silap," katanya.

Cecil berkata, bukti dokumen menunjukkan tidak wujud kebuntuan dalam politik Perak sebelum Nizar menghadap Sultan Perak pada 4 Feb.

"Ini kerana, pada 3 Feb, tiga anggota dewan undangan negeri Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang), telah mengemukakan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memaklumkan kepada baginda bahawa mereka telah hilang keyakinan terhadap Nizar dan berikrar menyokong Barisan Nasional.

"Surat berkenaan diterima Sultan pada pukul 3 petang, iaitu sebelum Sultan menerima menghadap Nizar pada pukul 5 petang.

"Sehingga 5 petang semalam, apabila Nizar memohon pembubaran itu, bagaimanakah keadaan politik di Perak ketika itu? Yang Arif hakim perbicaraan telah gagal menimbangkan dan mengambil kira sepenuhnya perkara ini dalam penghakiman beliau," kata Cecil.

Sementara itu, Abdul Gani berkata Nizar tidak boleh mendakwa beliau mendapat keyakinan majoriti kerana terdapat jumlah undi sama banyak iaitu 28 bagi keduadua pihak (Pakatan dan Barisan Nasional).

"Dalam kes ini, 50-50. Ia bererti tidak ada majoriti atau minoriti. Malah, responden (Nizar) mendapat 28 undi, termasuk Speaker V.Sivakumar, tapi mengikut peraturan tetap, speaker tidak boleh mengundi," katanya.

Abdul Gani juga berkata apabila Nizar menghadap Sultan Azlan Shah pada 4 Feb, beliau mengaku berlaku kebuntuan dalam dewan undangan negeri itu.

"Kebuntuan bererti tidak ada undi majoriti atau minoriti. Bagaimana pula, pada mulanya, Nizar berkata beliau mendapat undi majoriti, tapi pada waktu yang sama, mendakwa wujud kebuntuan," katanya.

Selepas selesai perbicaraan semalam, Nizar berkata beliau yakin akan sokongan rakyat Perak terhadapnya.

"Apa yang kami minta ini adalah untuk mereka dan apa yang kami lakukan ini hanyalah untuk mendapatkan keadilan melalui proses mahkamah," katanya.

Terdahulu sebelum persidangan bermula, barisan peguam kedua-dua pihak mula memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi tadi.

Nizar tiba kira-kira 15 minit kemudian bersama isteri dan beberapa penyokongnya.

Pasukan polis kelihatan mula melakukan kawalan sejak awal pagi.

Isu perundangan melibatkan Zambry dan Nizar telah bermula sejak Februari lalu apabila Dr Zambry telah dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Nizar selepas BN mengambil alih pemerintahan Perak daripada Pakatan Rakyat.

Berikutan itu, pada 13 Februari lalu, Nizar memfailkan permohonan untuk mengisytiharkan beliau sebagai Menteri Besar yang sah.

Kemudiannya pada 11 Mei, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Zambry bagaimanapun membuat rayuan berhubung keputusan itu pada 12 Mei dan Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan keputusan Mahkamah Tinggi sehingga kes rayuan Zambry selesai.

Nizar keesokannya pula membuat permohonan bagi mengenepikan keputusan Mahkamah Rayuan itu bagi penangguhan pelaksanaan itu. - azm/mks. _

Keputusan menyebelahi Zambry, saya mohon semua bertenang.

Keputusan yang diterima sebentar tadi memang saya yakin mengecewakan banyak pihak khususnya penyokong Pakatan Rakyat di Perak. Jadi saya memohon supaya semua pihak bertenang dan menerima dengan hati terbuaka buat sementara waktu keputusan yang diumumkan sebentar tadi.

TAKLIMAT POLITIK & TARBIYYAH HARAKI

TAKLIMAT POLITIK

& TARBIYYAH HARAKI

Oleh

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM

AHLI DEWAN UNDANGAN NEGERI TITI SERONG, PERAK

" Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Kerajaan Negeri Perak "


22 MEI 2009 ( JUMAAT )

9.00 MALAM

PEJABAT PAS KAWASAN PJS


MUSLIMIN & MUSLIMAT DIJEMPUT HADIR

Anjuran : Lajnah Tarbiyyah DPPPJS

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob kembali kerahmatullah

Malaysiakini : ADUN PAS meninggal dunia

ADUN Manik Urai, Ismail Yaacob meninggal dunia kira-kira subuh hari ini di hospital Kota Bharu dan PAS memanggil satu sidang media di Kuala Lumpur berhubung perkara tersebut.

Difahamkan Ismail, 60, dimasukkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II pada 26 April lalu kerana menghadapi masalah di bahagian kakinya sehingga menyebabkan kesihatannya sering kali terganggu.

Allahyarham antara ADUN yang paling lama berkhidmat di Kelantan sejak memenanginya pada pilihanraya umum 1986.

Kecuali pada 2004, allahyarham sudah lima penggal dipilih mewakili kawasan tersebut – bawah parlimen Kuala Krai yang diwakili bendahari PAS Dr Hatta Ramli.

Pengarah pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali dijadual mengadakan satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Kuala Lumpur jam 11 pagi ini.

Beliau juga dijangka mengulas pilihanraya kecil DUN Penanti yang akan bermula Sabtu ini sehingga 31 Mei.

Keputusan pilihanraya umum 2008 bagi N41 Manik Urai

Jumlah pengundi: 12,292 orang
Peratusan kaum: Melayu 99.25%, Cina 0.44%, India 26%, Lain-lain 0.02%

1. Ismail Yaacob (PAS) 5,746
2. Mohamed Zulkifli Omar (BN) 4,394

Majoriti: 1,352
Jumlah undi: 10,332
Peratus mengundi: 84.05%
Undi rosak: 192

Kami PAS Kawasan PJS mengucpkan TAKZIAH kepada sekelian ahli keluarga arwah....Al-Fatihah..