Selasa, 17 Ogos 2010

Umno Selangor semakin murah..........




Isu Umno mahu mempolitkkan masjid di bulan Ramadhan ini terus hangat. Siang tadi saya menerima panggilan bertalu-talu dari berbagai pihak menyatakan bantahan terhadap cadangan Umno Selangor untuk mengadakan majlis berbuka bersama PM (yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor) di Masjid Nurul Ehsan, Kg Medan, Petaling Jaya.

Malah petang tadi saya telah menemani Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr Hasan Ali bersama Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Sdr Khairuddin Othman bertemu dengan Dato' Menteri
Besar di rumah beliau bagi melahirkan kebimbangan PAS Selangor terhadap apa yang berlaku.

Sedang kami berada di rumah MB berbagai pihak bertandang ke masjid berkenaan termasuklah kontraktor yang mahu memasang khemah tetapi dihalang oleh pihak pimpinan masjid. Pimpinan Umno Selangor turut berada di masjid kononnya untuk berunding.

Tanpa segan-silu mereka mengguna dan menjual berbagai nama untuk melanggar masuk mengguna masjid, termasuklah nama MB, EXCO Agama malah nama istana pun turut dibabitkan.

Mujurlah pihak pimpinan masjid menghadapi isu ini dengan tenang dan membenarkan kami dan MB merundingkan suatu penyelesaian terbaik demi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.

Hakikatnya Umno Selangor mahu guna masjid. Surat permohonan atas nama parti itu diserahkan kepada Nazir masjid. Pihak masjid keranan menjunjung titah Tuanku Sultan telah menolak permohonan itu kerana masjid tidak boleh digunakan bagi tujuan politik. Itu bukan arahan MB atau EXCO Agama, itu perintah Tuanku sendiri. Jangankan Umno, PAS dan PKR pun tidak pernah membuat sebarang permohonan begitu untuk guna masjid di Selangor ini!

Saya masih ingat semasa Muktamar Tahunan PAS di Shah Alam tahun lalu, Pengarah JAIS mentah-mentah menolak permohonan bagi membenarkan YAB Mursyidul Am dan YB Presiden PAS berkhutbah dimana-mana masjid di Selangor. Lalu apa istimewanya Umno yang merupakan parti pembangkang di Selangor ini?

Kalau pusat-pusat, kemudahan dan bangunan milik kerajaan Persekutuan, pimpinan kerajaan negeri diharamkan menjejak kaki, apa pula istimewa Umno di pusat-pusat, kemudahan dan bangunan milik negeri.

Saya difahamkan apabila ditolak oleh Nazir, maka Umno Selangor mengguna apa sahaja talian hayat yang tinggal pada mereka, walaupun tanpa mengiku peraturan untuk memastikan agenda mereka itu dapat diteruskan juga. Surat Umno ditukar dengan surat dari Pejabat PM dan kali ini diserah terus kepada JAIS.

Apakah mereka ini sudah hilang pertimbangan sehingga menjadi jahil dan buta peraturan. Mengapa dari awal tidak buat permohonan rasmi? Jika PM mahu turun sepatuntnya Pejabat PM menghubungi Pejabat MB, tidakkah itu sopan dan mengikut saluran namanya? Kenapa perlu digunakan surat berkepala Umno, ditandatangani oleh SU Kerja Umno Negeri dialamatkan kepada Nazir.........beginikah cara Umno mengurus diri mereka?

Akhirnya setelah berunding, kata putusnya pihak negeri memberikan laluan tetapi bersyarat. Antaranya tiada sepanduk dan bendera Umno dibenar dikibarkan, tiada ucapan politik, semua pimpinan setempat termasuklah ahli parlimen, ADUN, ahli majlis dan lain-lain mesti diundang dan paling penting sekali majlis itu nanti mesti dianjurkan oleh pihak JAIS dan bukan parti politik.

Saya mendengar sendiri arahan yang diberi oleh Dato MB kepada Dato Setiausaha Kerajaan Negeri melalui telefon. Kemudiannya Dato Hasan menghubungi Nazor masjid memberikan arahan yang sama, kata Dato Hasan yang dibenar memberi ucapan adalah Nazir dan PM. Malah apabila saya bertanya kepada Dato MB, bagaimana jika Noh Omar berucap, bagaimana jika Ezam Md Nor berucap? Kata Tan Sri mereka tiada tauliah, tidak boleh, jika bercakap juga kita tangkap!

Walaupun berat kita terima keputusan negeri, tetapi kita wajib memastikan yang pihak pemohon mematuhi semua peraturan yang disebutkan di atas. Kepada ahli kariah Masjid Nurul Ehsan, raikanlah mereka tetapi berwaspada jika ada pihak-pihak lain selain yang dibenarkan itu berucap...........ambil tindakan.

Umno politikkan Masjid


Saya mendapat maklumat yang Umno Selangor mahu menganjurkan Majlis Berbuka Puasa di Masjid Nurul Ehsan, Taman Medan, Petaling Jaya. Khabarnya untuk memeriahkan majlis mereka akan mengundang Presiden Umno yang juga PM iaitu Najib Tun Razak.

Ini bukan kali pertama Umno menggunakan masjid bagi tujuan ini. Malah hampir tiap tahun ia menganjurkannya sejak hilang kuasa di negeri ini. Tahun lepas di Kuang dan sebelumnya di Ampang (tetapi dibatalkan kerana tidak mendapat kelulusan).

Saya turut difahamkan Nazir dan JK Masjid Nurul Ehsan membantah penganjuran program bercorak politik di masjid mereka.

Saya hairan mengapa mereka perlu seret pemimpin mereka ke kawasan DUN (Taman Medan) dan Parlimen (PJ Selatan) yang mereka kalah. Jelas tiada alasan lain selain mempolitkkan majlis untuk kepentingan mereka. Ini jelas bertentangan dengan titah Tuanku Sultan Selangor.

Kalau benar pun PM mahu turun berbuka puasa dengan rakyat, masuklah ikut pintu hadapan. Negeri ini ada kerajaannya. Berilah salam dan mohon maklum. Saya percaya jika dibuat melalui pintu hadapan Menteri Besar, EXCO, ADUN dan rakyat jelata sendiri boleh keluar tanpa merasa yang majlis itu nanti suatu majlis politik.

Tetapi kalau ikut pintu belakang, curi-curi dan memeblakang peraturan yang ada, layak sangatlah Nazir dan JK Masjid menolak malah rakyat jelata pun berhak bersuara membantah.

Jangan politkkan masjid kami di bulan Ramadhan ini...........